Ujian Fungsi Buah Pinggang

Buah pinggang adalah organ penting untuk semua makhluk hidup, sama ada manusia atau haiwan. Fungsi utama buah pinggang adalah untuk menyingkirkan sisa toksik yang terdapat dalam darah kita melalui air kencing.

Buah pinggang perlu berfungsi dengan baik untuk memastikan kesihatan badan yang sempurna. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi boleh merosakkan buah pinggang jika tidak dirawat oleh doktor. Pengambilan ubat termasuk ubat tradisional tanpa nasihat doktor juga menjadi punca kegagalan buah pinggang. Pencemaran makanan seperti racun perosak juga boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

Secara umumnya, kebanyakan proses yang berlaku dalam badan akan menghasilkan bahan buangan toksik seperti urea, kreatinin, asid urik dan badan keton.

Kegagalan buah pinggang berfungsi dengan baik akan menyebabkan masalah kesihatan yang teruk. Oleh itu, pesakit buah pinggang yang serius perlu menjalani dialisis untuk membersihkan darah daripada bahan toksik yang berbahaya. Mesin dialisis berfungsi sebagai pengganti buah pinggang.

Darah yang membawa bahan toksik mengalir melalui arteri buah pinggang ke dalam buah pinggang. Di dalam buah pinggang, darah akan menjalani proses penapisan. Semua bahan toksik akan ditapis dan disingkirkan melalui air kencing. Darah yang telah dinyahtoksik akan meninggalkan buah pinggang melalui vena renal dan beredar kembali ke seluruh badan. Proses ini berlaku sepanjang hayat kita.

Doktor boleh mengetahui status buah pinggang dengan menjalankan prosedur seperti ujian makmal dan ujian X-ray. Ujian makmal biasanya dilakukan melalui ujian darah dan ujian air kencing.

Antara ujian darah yang terlibat ialah ujian tahap urea dan kreatinin. Urea adalah bahan buangan badan hasil metabolisme protein. Kreatinin adalah bahan buangan badan akibat metabolisme protein otot. Urea dan kreatinin biasanya dikeluarkan oleh buah pinggang melalui air kencing.

Kepekatan urea dan kreatinin dalam darah yang melebihi paras normal adalah petunjuk kegagalan buah pinggang yang sebenar.

Ujian anggaran kadar penapisan glomerular (e-GFR) adalah ujian untuk menganggarkan kadar penapisan glomerular buah pinggang. Fungsi buah pinggang adalah normal apabila e-GFR kita antara 90 - 120 ml/minit. Jika e-GFR kita kurang daripada 60 ml/minit, ada kemungkinan kerosakan buah pinggang.

Kehadiran sel darah merah dan protein dalam air kencing juga mungkin menjadi tanda masalah fungsi buah pinggang.

Sesetengah jenis bahan buangan metabolik dan ubat adalah toksik jika berlebihan dalam darah. Memandangkan buah pinggang berfungsi sebagai organ yang mengeluarkan bahan toksik daripada badan, ujian buah pinggang sering dilakukan sekiranya doktor ingin memulakan rawatan untuk mengetahui kesan ubat yang diambil oleh pesakit yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Pengambilan makanan tambahan yang berlebihan seperti multi-vitamin, garam mineral atau ubat tradisional boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Oleh itu, kita perlu meminta nasihat doktor sebelum mula mengambil makanan tambahan atau perubatan tradisional secara berterusan.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi mereka di:

wikitole : https://thetole.org/wikitole/

kedai dalam talian : https://thetole.org/Shop/

rundingan dalam talian : www.thetole.org/shop/consultation/